PETALING JAYA – Kemelut rumah tangga tidak menghalang penyanyi Adira Suhaimi menyambut 1 Syawal bersama suaminya, Datuk Seri Adnan Abu.
Menerusi hantaran video dalam Instagram yang dimuat naik Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, bersama Datuk Red dan empat cahaya mata mereka dilihat mengenakan persalinan sedondon
hitam.
“Simpan sini untuk kenangan untuk anak-anak tengok nanti,” tulisnya sebagai kapsyen hantaran tersebut.
Lebih menyentuh hati khalayak, video pendek tersebut turut berlatarkan lagu Mungkin Hari Ini Esok Atau Nanti nyanyian asal pemyanyi Indonesia, Anneth.
Sempena hari mulia, pelantun lagu Pujaan Hati itu juga turut memohon kemaafan sekiranya ada melukakan hati sesiapa selama ini.
“Salam kosong-kosong buat kenalan, minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki sekiranya Ami (panggilan Adira) ada buat salah atau menyinggung hati siapa-siapa,” ujarnya.
Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen tumpang gembira melihat keluarga itu menyambut lebaran bersama selain mendoakan yang terbaik.
“Sejuk mata memandang, tolonglah jangan berpisah,anak-anak perlukan kasih sayang ibu bapanya,” kata seorang netizen.
“Nampak masing-masing masih sayang, gembira saja muka semua,” demikian komen netizen itu.
Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan penceraian terhadap Adnan atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Red atas alasan tiada lagi persefahaman.
Bukan hanya Adira, isteri pertama Adnan iaitu Datin Seri Syarifah Norshafila Hassim juga memfailkan perceraian pada penghujung Januari lalu.
Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua dan memiliki empat orang cahaya mata.
Hasil perkahwinan Adnan dan Syarifah mereka dikurniakan lima anak.
Malah lelaki itu juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.