KUALA LUMPUR – The Raw International Sdn. Bhd. (The Raw), mahu menjadikan program sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang tidak berkemampuan bersempena bulan Ramadan sebagai inisiatif tahunan.
Pegawai Perhubungan Awam The Raw, Nor Amira Amizan berkata, ini kerana acara turun padang bertemu kumpulan tersebut telah menyuntik semangat dan inspirasi untuk syarikat membantu golongan berkenaan yang berdepan dengan keadaan yang sukar kini.
“Jika sebelum ini, kami lakukan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini secara dalaman yang melibatkan kumpulan kecil tetapi ini adalah program infak terbesar kami seiring dengan pengukuhan kedudukan kewangan syarikat tahun ini.
“Sehubungan itu, kami telah bekerjasama dengan beberapa organisasi untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan kepada asnaf khususnya wanita dan ibu tunggal di sini semalam.
The Raw telah memilih 10,000 asnaf daripada pelbagai latar belakang di seluruh Lembah Klang untuk menerima infak beras.
Inisiatif Sentuhan Kasih The Raw itu telah dianjurkan bersama Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) mengagihkan 10,000 kampit beras secara berperingkat dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat lalu.
Semalam The Raw bersama Gerakwanis menginfak dan mengagihkan baki 3,000 daripada 10,000 kampit beras kepada wakil-wakil daripada persatuan bukan kerajaan (NGO), surau, madrasah tahfiz, wakil penduduk bandar Tun Razak dan Cheras.
Sebelum itu, syarikat telah menyerahkan 3,000 kampit beras telah diagihkan di Perumahan Awam Desa Rejang di sini.
Terdahulu berhubung program tersebut turut mengagihkan 4,000 kampit beras kepada asnaf berhampiran empat masjid terpilih di sekitar Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor. -KOSMO! ONLINE