PETALING JAYA – Aliran trafik di Plaza Tol Gombak mula sesak susulan orang ramai yang mula bergerak ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut esok.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dikongsikan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik mula sesak sekitar Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur dan perlahan di kawasan mendaki dari kilometer (KM) 33.0 arah timur ke arah Terowong Genting Sempah.
“Trafik sesak berikutan hujan sekitar Gombak. Jangan memandu ikut emosi. Sama-sama kita bertoleransi. Semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik. – KOSMO! ONLINE