fbpx

‘Perang masih belum tamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berjalan sambil melihat kemusnahan bangunan di Khan Yunis selepas pengunduran askar Israel kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Tentera Israel bersedia untuk melancarkan serangan ke atas bandar paling selatan Semenanjung Gaza, Rafah, selepas enam bulan peperangan berlarutan dan di tengah-tengah tekanan pemimpin dunia agar rancangan itu tidak diteruskan.

Rejim Zionis awal kelmarin mengumumkan pengunduran askarnya dari bandar Khan Yunis di selatan Gaza.

Ia kemudian menjelaskan tindakan itu diambil sebagai langkah taktikal untuk bersiap sedia menyerang Rafah.

“Askar-askar (Israel) meninggalkan Khan Yunis selepas berbulan-bulan bertempur untuk bersedia bagi misi seterusnya termasuk Rafah,” kata Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant.

Beberapa pemimpin dunia sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pencerobohan ke atas bandar berhampiran sempadan Mesir itu, di mana kebanyakan penduduk Gaza berlindung di situ.

“Perang di Gaza masih berterusan, dan ia masih jauh untuk tamat.

“Ini adalah perang yang panjang dengan intensiti berbeza-beza,” kata Ketua Staf tentera Israel, Herzi Halevi. 

Sementara itu, sebilangan penduduk Palestin kembali ke Khan Yunis selepas tentera Zionis meninggalkan bandar itu dalam keadaan sebahagian besar bangunan musnah.

Seorang penduduk dari utara Gaza, Muhammad Yunis, 51, berkata, dia tidak melihat apa-apa selain kemusnahan.

“Tidak cukupkah dengan pengeboman, kematian dan kemusnahan?

“Ada mayat yang masih berada di bawah runtuhan. Kami dapat menghidu bau busuk,” katanya.

Dalam pada itu, ketika rundingan ke arah perjanjian gencatan senjata ditetapkan untuk disambung semula di Kaherah, Mesir, Netanyahu mendakwa bahawa Israel hanya selangkah lagi untuk memperoleh kemenangan.

“Namun, tidak akan ada gencatan senjata tanpa pembebasan tebusan,” ujarnya.

Netanyahu menghadapi tekanan hebat daripada keluarga dan para penyokong tebusan Israel di Gaza serta gerakan protes antikerajaan yang mendesak peletakan jawatannya.

“Israel bersedia untuk perjanjian, namun bukan menyerah diri,” katanya.

Pejuang Hamas dan Jihad Islam menahan lebih 250 tebusan Israel dan asing dengan 129 daripadanya masih berada di Gaza.

Dalam masa sama, pencerobohan askar Zionis telah membunuh sekurang-kurangnya 33,175 orang di Gaza dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, demikian menurut Kementerian Kesihatan di Gaza. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI