BAGAN SERAI – Pengusaha Lemang Paklong Kalumpang terpaksa mengehadkan jualan pulut lemangnya tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan kekurangan pelanggan kali ini.
Pengusahanya, Saharudin Othman, 60, berkata, dia telah mengusahakan lemang di Kampung Kalumpang lebih dari 40 tahun yang lalu.
“Tahun ini saya hanya membakar lemang berdasarkan tempahan yang diterima sahaja kerana jumlah tempahan merosot.
“Jika dibandingkan tahun lalu, saya terima tempahan untuk membakar lemang sebanyak 500 batang manakala tahun ini sekitar 230 batang sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Kalumpang di sini hari ini.
Menurutnya, kurangnya tempahan pada tahun ini mungkin kerana ramai yang menghadapi kekangan kewangan disebabkan faktor ekonomi yang berlaku sekarang.
“Orang ramai lebih berjimat cermat pada tahun ini dan hanya membeli barang keperluan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang diperlukan sahaja.
“Boleh dikatakan ramai pengusaha lemang pada tahun ini hanya membakar lemang berdasarkan tempahan yang diterima sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE