LONDON – Leicester City telah menyertai perlumbaan bersama Crystal Palace dan Brentford dalam pertarungan untuk mendapatkan penggempur Arsenal, Eddie Nketiah pada jendela perpindahan nanti.
Terdahulu, Brentford meletakkan Nketiah sebagai calon sesuai sekiranya mereka gagal mempertahankan Ivan Toney selain Palace pula mahu menajamkan jentera serangan menerusi kehadiran pemain tersebut
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan Leicester juga terdesak untuk mendapatkan khidmat penyerang apabila penggempur utama mereka, Jamie Vardy dijangka meninggalkan pasukan itu pada hujung musim ini.
Nketiah sebelum ini dikatakan tertarik untuk ke Brentford berbanding menyertai Palace, namun kemunculan Leicester yang turut mahukan khidmatnya mungkin akan mengubah keputusan yang bakal dibuatnya nanti.
Penyerang berusia 24 tahun itu menyertai Arsenal sejak 2017 dan telah membuat 165 penampilan serta berjaya meledak 38 gol sepanjang kariernya bersama kelab itu sebelum dilaporkan akan meninggalkan kelab pada akhir musim ini.
Sementara itu, Arsenal dilaporkan sedang merombak kesebelasan utama pasukan dengan melepaskan pemain, dalam masa sama aktif mencari bakat baru bertujuan untuk saingan merebut gelaran Liga Perdana musim depan.
Selain Eddie Nketiah, penyerang tengah Emile Smith Rowe juga dijangkakan akan beredar setelah membantu Arsenal meledak 18 gol dalam 113 penampilan sejak tahun 2018. – AGENSI