RANTAU PANJANG – Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini sesak apabila warganegara Thailand yang mencari rezeki di negara ini pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Aidilfitri.
Tinjauan Kosmo! mendapati, suasana kompleks itu mula sesak sejak pukul 7 pagi tadi apabila rakyat Thailand memenuhi kawasan tersebut untuk menyelesaikan urusan dengan pihak Jabatan Imigresen.
Pada masa sama, motosikal tambang kelihatan sibuk keluar dan masuk dari ICQS Rantau Panjang dengan mengangkut penumpang warga Thailand yang baru tiba menaiki bas atau van.
Seorang rakyat Thailand, Dollah Mat Ripin, 37, berkata, dia akan pulang ke kampung untuk meraikan lebaran bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai setiap tahun.
“Saya balik ke ke sini (Kelantan) dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Meskipun terpaksa menempuh perjalanan yang panjang, namun rasa penat terus hilang sebaik sahaja melihat pintu ICQS Rantau Panjang,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Seorang lagi warganegara Thailand, Rokiah Said, 40, memberitahu, suasana pulang untuk beraya berbeza meskipun dia sering balik ke kampung halamannya di Narathiwat hampir setiap bulan.
Katanya, dia tidak sabar untuk menyambut lebaran bersama anak-anaknya yang berada di kampung halaman setiap kali Aidilfitri.
Sementara itu, Rokiah Mat Derus, 20, berkata, dia diberi cuti selama seminggu selepas kedai makan tempatnya bekerja menutup operasi sempena Aidilfitri.
Dalam perkembangan sama, pengusaha motosikal tambang, Zamail Yusof, 63, berkata, warganegara Thailand yang berada di negara ini mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak kelmarin. – KOSMO! ONLINE