PUTRAJAYA – Pemberian duit raya hanya bersifat sukarela atau hadiah dan bukannya kewajipan setiap kali hari raya.
Selain itu ia juga tanda meraikan Syawal untuk diberikan (wang) kepada ibu bapa, anak-anak dan keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, amalan memberi duit raya bersifat sukarela sahaja dan tidak menjadi satu kewajipan sehingga membebankan.
Katanya, ia bersifat sukarela dengan niat mahu memberikan keseronokan selain para ulama turut bersetuju amalan itu menepati amalan sedekah.
“Apa yang penting ialah ukhuwah, ziarah dan berkasih sayang kerana menjadi falsafah terkandung dalam Aidilfitri dan bukannya pemberian duit raya semata-mata.
“Adalah mustahak untuk kita mendidik anak-anak supaya memahami semangat dan falsafah sambutan hari raya yang mengajak semua umat untuk bersatu serta saling menghormati,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Sementara itu, orang ramai turut bersetuju bahawa pemberian duit raya sebagai satu amalan bersedekah di mana diberikan mengikut kemampuan masing-masing.
Menurut seorang pekerja swasta, Siti Syazwani Che Kak, 33, duit raya perlu diberikan sebagai tanda menghargai orang terdekat serta tidak melibatkan elemen mahu bermegah-megah.
“Bukan semua orang berkemampuan untuk memberi duit raya lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi mencabar, maka berilah ia dengan niat bersedekah.
“Jika ada lebihan duit, tidak salah untuk beri dengan nilai lebih tinggi, tetapi sekiranya kewangan kurang mengizinkan, kita boleh beri mengikut kemampuan untuk berikan kegembiraan kepada orang sekeliling,” jelasnya.
Bagi Ruzaidi Amin, 34, pula menyifatkan, amalan memberi duit raya perlu diteruskan kepada orang terdekat.