MELAKA – Sebuah hub kuih raya dekat Bukit Rambai di sini terus dikunjungi orang ramai yang memborong lebih 100 jenis kuih dengan harga serendah RM10 bagi setiap balang.
Menurut peniaga, Azie Izhar, 38, sepanjang Ramadan ini dia telah menjual kira-kira 400,000 balang kuih raya yang disediakan oleh 30 pembekal terdiri daripada golongan ibu tunggal, asnaf dan usahawan wanita.
Ujarnya, lebih 50 peratus bekalan kuih raya itu telah dibeli oleh pelanggan yang kurang berkemampuan dan terikat dengan bajet persiapan Aidilfitri.
“Kuih raya ini kualitinya setanding dengan kuih premium, cuma kuantiti dalam satu balang itu sedikit, sebab itulah harganya murah.
“Kita jual RM10 ini supaya semua orang berpeluang untuk beli dan melakukan persiapan hari raya, yang kurang berkemampuan pun boleh beli beberapa jenis kuih raya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.
Tambahnya, konsep kuih raya RM10 itu turut menarik minat syarikat kerajaan dan swasta membuat tempahan dalam bentuk hamper sebagai buah tangan sempena Aidilfitri.
Mengulas lanjut ibu anak tiga itu memberitahu, selain pembekal tempatan, kuih raya tersebut turut dihantar oleh peniaga kecil di luar Melaka termasuk dari Pasir Gudang, Johor dan Kedah.
“Mereka sanggup datang jauh-jauh hantar kuih di Melaka ini kerana saya cuma ambil bayaran hub RM400 untuk seumur hidup dan komisyen 50 sen setiap balang, kedai vendor lain ada yang ambil RM1 sehingga RM2.
“Niat saya ingin membantu memasarkan produk mereka kerana ada dalam kalangan pembekal ini asnaf, ada juga yang mempunyai anak kelainan upaya (OKU) dan sebagainya,” ujarnya.
Ujarnya, stok kuih raya itu akan terus ditambah dan premis dibuka semula seawal hari kedua Aidilfitri ini bagi memenuhi permintaan pelanggan. – KOSMO! ONLINE