PETALING JAYA – Setiap pasangan pasti tidak dapat lari daripada berdepan konflik perhubungan, namun sebagai manusia bijak perlulah berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan agar tidak menyesal kemudian hari.
Kisah sepasang suami isteri ini agak berbeza dengan pasangan lain apabila si wanita tekad untuk dilepaskan kerana mahu bebas seperti kehidupan orang bujang.
Menurut perkongsian peguam syarie, Nur Asyikin di Facebook, wanita tersebut dengki melihat kebebasan rakan-rakannya yang masih bujang disebabkan mereka dengan mudah dapat bercuti tanpa halangan.
“Memang ada kisah, dah berumah tangga tetapi hatinya masih mahu kehidupan bebas seperti orang bujang. Kalau berkahwin, wajib mohon izin suami untuk keluar rumah, jika suami tidak izinkan si isteri perlu hormat.
“Cuma sekarang, ramai kahwin muda dengan alasan ‘aku cintakan kau’, tetapi tanggungjawab dan peranan menjadi seorang suami dan isteri itu masih kurang ilmu. Sebab itu, tak dapat keluar mula nak memberontak, lari rumah,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pasangan muda bersedia dari segi mental dan emosi terlebih dahulu sebelum berkahwin kerana sebuah perkahwinan bukan sekadar hidup berdua, tetapi melengkapi satu sama lain dalam segala hal. – KOSMO! ONLINE