PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa kaum wanita yang sedang datang bulan masih dibenarkan ke masjid pada Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, golongan wanita sangatlah dituntut untuk hadir bagi mendapatkan keberkatan solat hari raya itu.
“Kata ulamak, solat hari raya mempunyai kelebihan buat kaum wanita berbanding solat lima waktu dan solat Jumaat.
“Kalau solat Jumaat, orang perempuan tak disuruh atau digalakkan pun untuk datang ke masjid tapi solat hari raya mereka digalakkan hadir ke masjid dan hukum untuk mereka sunat raya adalah sunat.
“Itu yang hebatnya solat hari raya ini, sampaikan orang perempuan yang dalam haid pun disuruh untuk pergi juga,” katanya dalam satu video tular di TikTok.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan salah seorang tetamu ceramahnya yang bertanya adakah boleh untuk wanita yang sedang dalam haid datang ke masjid semasa solat hari raya.
Bagaimanapun, jelas Ustaz Azhar, mereka yang sedang haid perlu datang dan duduk di luar kawasan masjid bukan bersama-sama jemaah lain di dalam ruang solat.
“Ada beberapa hadis antaranya hadis riwayat daripada Ummu ‘Athiah R.A, dia ceritakan bahawa, ‘Kami di zaman Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk pergi sembahyang raya’.
‘Begitu juga anak-anak peremuan dan mereka yang berada dalam keadaan haid untuk ke masjid sewaktu solat hari raya’. Tetapi timbul persoalan macam mana orang perempuan dalam haid nak solat, kan haram hukumnya?
“Dengar baik-baik, maksudnya di sini ialah orang perempuan yang dalam haid boleh duduk sahaja di luar masjid untuk dapat keberkatan takbir, solat dan khutbah solat hari raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE