fbpx

Tak balik Kedah, Farid, Diana raya di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID dan Diana selesa menyambut Aidilfitri secara sederhana di Kuala Lumpur buat pertama kalinya.

PETALING JAYA – Lari daripada kebiasaan, pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle memilih menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Menurut Farid, 42, sambutan lebaran keluarganya kali ini pasti berbeza kerana tidak pulang ke kampung halaman di Kedah seperti yang sering dilakukannya sebelum ini.

“Raya di Kuala Lumpur tahun ini. Alhamdulillah anak-anak okey beraya di mana pun.

“Kalau ikut perancangan, keluarga termasuk ibu bapa saya akan berkumpul di Kuala Lumpur,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dia bagaimanapun mengakui beraya di bandar adalah perkara baharu buat dirinya dan keluarga.

“Sebenarnya ini suasana dan pengalaman baharu buat kami.

“Tidak mengapalah, raya tetap raya dan paling penting dapat bercuti serta luangkan masa bersama keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Diana pula sambutan Aidilfitri adalah detik kemenangan umat Islam selepas sebulan menjalani ibadah puasa.

Bahkan, momen paling dinanti-nantikan ialah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama anak-anaknya, Muhammad dan Aurora.

“Momen paling saya suka pada hari raya ialah bawa anak-anak ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri.

“Pagi raya adalah momen paling saya nanti-nantikan. Itulah detik paling manis untuk raikan perjuangan 30 hari berpuasa,” kongsi aktres berusia 34 tahun itu.

Dia yang popular menerusi drama Raisya berkata, lebaran kali ini disambut secara sederhana.

“Kami sekeluarga kalau beraya biasa-biasa sahaja. Kalau nampak sedondon pun, hanya atas tuntutan media sosial selepas melihat ramai berpakaian sedondon.

“Saya dan Farid sibuk dengan penggambaran filem Baran dan kurang masa untuk bincang soal hari raya. Apa yang penting kami sudah sempurnakan tuntutan wajib iaitu berpuasa.

“Lagipun, seluruh dunia berduka dengan pergolakan di Gaza. Lebih baik kita bersederhana, tak perlu berlebih-lebih sangat dan bersyukur dengan apa yang dimiliki,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI