PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa terharu dan gembira apabila salah seorang anak istimewa yang pernah diraikan Seri Paduka Baginda pada tahun 2016, masih mengingatinya ketika terserempak baru-baru ini.
Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Raja Permaisuri Agong terserempak dengan Tay Xiu Jin yang kini berusia 24 tahun sewaktu sedang membeli kuih-muih menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Johor Bahru.
“Saya sungguh terharu dan gembira apabila beliau masih ingat saya. Ini merupakan satu pertemuan yang cukup manis.
“Sebagaimana yang sentiasa ditegaskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong betapa pentingnya perpaduan antara kaum dan untuk menghormati semua golongan masyarakat.
“Pada masa yang sama jangan kita melupakan insan-insan istimewa ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada RPO.
Terdahulu, RPO memaklumkan, Raja Zarith Sofiah amat dekat dihati anak-anak istimewa sejak dahulu, malah Seri Paduka Baginda amat menitikberatkan kebajikan mereka.
Jelas RPO, Seri Paduka Baginda Raja Zarith Sofiah sentiasa berangkat melawat serta beramah-mesra bersama anak-anak istimewa di Johor.
“Mengimbas kembali pertemuan pertama Seri Paduka Baginda bersama adik Tay Xiu Jin pada 2016 ketika insan istimewa itu berusia 16 tahun.
“Pada 24 Januari 2016, Seri Paduka Baginda ketika itu merupakan Permaisuri Johor berangkat meraikan 350 ahli Kelab Kiwanis Johor Bahru sempena sambutan tahunan kanak-kanak di sebuah taman tema,” kata RPO. – KOSMO! ONLINE