fbpx

Nazatul Akmal jual pastri jana pendapatan di kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siswi Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Nazatul Akmal menjual aneka pencuci mulut untuk menjana pendapatan sampingan.

MUTAKHIR ini, ramai generasi muda terutamanya wanita mempunyai kemahiran dalam bidang pastri.

Menerusi kemahiran yang ada, mereka mengambil peluang untuk menjual dessert atau pencuci mulut bagi menjana pendapatan tambahan.

Nazatul Akmal Mohd. Yusof, 29, juga tidak melepaskan peluang tersebut. Melalui kemahiran yang ada, dia turut menjual pemanis mulut secara online.

Antara pemanis mulut yang dijualnya menerusi laman sosial Instagram, bombombakes termasuklah Japanese cream puffs, brownie dan lain-lain lagi.

“Saya memang minat dalam bidang penghasilan pastri ini.

“Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk mengikuti kelas penghasilan pastri bagi menambah kemahiran.

“Mendalami kemahiran ini bukanlah satu yang sia-sia. Malah, kemahiran ini telah membantu saya menjana pendapatan tambahan dengan menjual pencuci mulut secara sampingan,” katanya.

Ketika ini, Nazatul Akmal sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di ibu kota.

Disebabkan sibuk dengan pengajian, dia kini lebih fokus untuk menjual Japanese cream puffs dan brownie kepada para pelanggannya.

Meskipun penjualan pencuci mulut itu dilakukan secara sampingan, namun dia mengakui permintaan yang diterimanya cukup baik sehingga tidak menang tangan.

“Jika tidak ada kelas, saya akan buka pesanan kepada para pelanggan.

“Jika ada kelas, saya terpaksa menolak pesanan mereka kerana ingin memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Malah, pensyarah-pensyarah juga telah menjadi pelanggan saya dan mereka sering menempah pastri,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga memiliki impian untuk membuka sebuah kafe pencuci mulut yang menjual pelbagai jenis pastri pada masa depan.

Dalam pada itu, Nazatul Akmal menjelaskan, sebelum ini, dia pernah bekerja di sebuah syarikat tetapi terpaksa berhenti.

Ini selepas syarikat itu terpaksa ditutup akibat masalah kewangan.

Bagaimanapun, menerusi kemahiran menghasilkan pastri yang dimiliki, dia mampu menjana pendapatan selepas kehilangan pekerjaan itu.

Selepas itu, Nazatul Akmal mula mencari kerja yang bersesuaian.

Namun, dia dapati sukar untuk mendapat pekerjaan sesuai kerana hanya memiliki tahap pendidikan diploma dalam bidang komunikasi bahasa Inggeris.

Ketika di syarikat lama, dia banyak terlibat dalam kerja-kerja berkaitan penganjuran acara.

“Di syarikat lama, saya kena uruskan beberapa acara. Namun, saya tidak ada pengalaman ketika itu dan main buat sahaja. Setelah diberhentikan kerja, saya ingin memohon jawatan yang berkaitan.

“Ketika itu, baru saya sedar bahawa saya tidak memiliki banyak pengetahuan dan kelayakan untuk jawatan tersebut.

“Sewaktu saya mencari pekerjaan, kebanyakan jawatan yang ditawarkan memerlukan seseorang itu mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang komunikasi korporat di UPTM,” katanya.

Kini, dia belajar banyak perkara baharu terutamanya berkaitan pengurusan acara.

Menariknya, dia bersama rakan-rakan seperjuangan telah berjaya menganjurkan beberapa acara besar sepanjang pengajian di universiti.

Mengulas tentang perancangan masa depan, Nazatul Akmal berkata, setelah tamat pengajian kelak, dia ingin mencari kerja yang bersesuaian dengan bidang pengajiannya.

Ujarnya, dia mahu meraih sebanyak mungkin pengalaman dalam bidang pekerjaan.

Dia juga tidak menolak kemungkinan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI