PETALING JAYA – Demi menjaga keharmonian rumah tangga, penyanyi dan pelakon Nabila Razali akur permintaan suaminya agar tidak berkongsi ‘hal dalam kain’ menerusi media sosial.
Menurut Nabila, 32, dia dan suami memilih untuk tidak terlalu menunjuk kebahagiaan dalam semua perkongsian media sosial kepada umum.
“Suami pesan kalau boleh hal rumah tangga kita simpan untuk diri kita sahaja dan tunjuk yang sepatutnya sahaja.
“Sebagai perempuan, kalau tak banyak, sikit pun kita akan risau (berlaku perkara tidak diingini), jadi kita cubalah kawal apa yang mampu,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Pelantun lagu Peluang Kedua itu bagaimanapun tidak menolak bahawa kehendak dan spekulasi netizen antara sebab dirinya risau untuk memaparkan kebahagiaan dengan suami dalam media sosial.
Justeru, bagi memenuhi kehendak semua namun dalam keadaan terkawal, dia akan lebih berpada-pada untuk buat memuat naik sebarang hantaran berkaitan suaminya dalam media sosial.
“Kita cuba simpan tetapi kadang-kadang netizen yang akan buat kita pening kepala juga kerana kalau tak tunjuk (kebahagiaan rumah tangga) dalam media sosial, mereka akan fikir lain dan kalau tunjuk pun mereka cakap lain pula.
“Selalunya suami akan tapis dulu ‘content’ (kandungan) yang saya mahu muat naik dalam media sosial terutama jika berkaitan dengan dirinya.
“Adakalanya saya dah rakam video untuk muat naik dalam TikTok tetapi suami nak tengok dulu. Kalau dia kata okey baru saya kongsi dan sebaliknya,” ujarnya yang akan menyambut raya di Kelantan tahun ini.
Terdahulu, Nabila dan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 39, selamat bernikah pada 18 November tahun lalu dalam majlis tertutup di sebuah hotel di Pahang yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat masing-masing. – KOSMO! ONLINE