fbpx

Mahabbah Ramadan PTP-LPJ bantu golongan kurang berkemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 250 penerima termasuk penghuni rumah anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya, keluarga miskin dan peserta PDK mendapat manfaat daripada program Mahabbah Ramadan PTP-LPJ, tahun ini.

ISKANDAR PUTERI – Kira-kira 250 individu dari rumah anak yatim, ibu bapa tunggal, orang kurang upaya dan keluarga berpendapatan rendah menerima bantuan menerusi program Mahabbah Ramadan anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), ahli Kumpulan MMC dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).

Mahabbah Ramadan merupakan sebuah program di bawah agenda pelaburan sosial korporat iaitu Program Kasih Lestari PTP yang bertujuan merapatkan jurang sosio-ekonomi golongan kurang berkemampuan di kawasan Gelang Patah dan Johor Bahru.

PTP dalam satu kenyataan media berkata, setiap penerima menerima pakej penjagaan khas yang dibungkus dengan bahan-bahan harian untuk penyediaan jamuan Hari Raya Aidilfitri termasuk beras, gula, tepung, pulut, mi kering, rempah ratus dan ketupat segera.

“Selain itu, mereka juga diberikan baucar Mydin bernilai RM100 setiap satu serta aneka kuih raya. Program diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad sebagai tetamu kehormat.

“Turut hadir memeriahkan majlis termasuk Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal; Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman; wakil Pengurusan PTP, LPJ, Pejabat Daerah Johor Bahru, penghulu dan ketua-ketua Kampung,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan sama, Pandak dalam ucapannya sempena program berkenaan memuji PTP dan LPJ atas komitmen berterusan kedua-dua organisasi terhadap tanggungjawab sosial setempat.

Beliau menyifatkan kerjasama tersebut membawa kebaikan kepada masyarakat setempat khususnya golongan kurang berkemampuan serta memupuk kemesraan dan kasih sayang seiring dengan semangat Ramadan.

Hardiman dalam ucapannya menjelaskan, PTP telah menganjurkan program pemberian bantuan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri lebih 16 tahun dengan kerjasama agensi kerajaan serta masyarakat setempat.

Jelas beliau, matlamat utama program itu untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan dan memudahkan beban golongan memerlukan dalam kalangan masyarakat sekitar tempat PTP beroperasi.

“Program Mahabbah Ramadan yang secara literal diterjemahkan kepada ‘cinta yang mendalam’ berfungsi sebagai platform PTP berkongsi keberkatan Ramadan dan Aidilfitri kepada masyarakat setempat kami di Gelang Patah,” katanya.

Rosnan pula berkata, program itu bukan sahaja memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang, tetapi memastikan golongan kurang berkemampuan tidak tercicir dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan PTP turut menjemput 40 kanak-kanak kurang bernasib baik Rumah Fitrah Qaseh dan pusat pemulihan komuniti (PDK) Nusajaya dalam majlis berbuka puasa di premisnya.

“PTP juga mengagihkan lebih 2,000 bubur lambuk yang disediakan dan dimasak bersama oleh sukarelawan PTP dan masyarakat kampung setempat di Mukim Tanjung Kupang.

“Bubur lambuk itu diserahkan kepada rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas, masjid dan ahli masyarakat lain yang layak di sekitar PTP,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI