PETALING JAYA – Sebuah lori rosak di KM263.9 selepas Terowong Menora arah Selatan menjadi punca kepada kesesakan dan kelewatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh (U).
Bagaimanapun, menurut Plus Malaysia Berhad (Plus), insiden yang menghalang lorong kiri itu telah pun selesai dan trafik dilaporkan berada dalam keadaan terkawal.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia, kereta yang terperangkap dalam kesesakan itu sudah pun mula beransur bergerak perlahan.
Sementara itu, pemerhatian di beberapa lebuh raya utama lain dilaporkan lancar setakat pukul 2 petang tadi walaupun berlakunya pertambahan kenderaan di sesetengah lokasi.
Di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak, trafik dilaporkan lancar dari plaza tol Gombak ke Genting Sempah sehingga ke Bentong.
Di Lebuh Raya Pantai Timur 1 juga trafik lancar di sepanjang lebuh raya di kedua-dua hala walaupun berlakunya kesesakan sedikit di beberapa lokasi plaza tol.
Trafik di Lebuh Raya Plus Utara @ E1 juga kelihatan terkawal di KM 372.6 Slim River, KM 339.9 Bidor, KM 333.6 Tapah sehinggalah ke KM290.55 Simpang Pulai.
Di Lebuh Raya Plus Selatan @ E2 juga mendapati trafik berada dalam keadaan terkawal meskipun berlakunya penambahan kenderaan di beberapa lokasi seperti KM297.7 Bangi, plaza tol Sungai Besi, Seremban dan Ayer Keroh. – KOSMO! ONLINE