fbpx

Kenderaan di lebuh raya utama mula bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertambahan kenderaan dilihat meningkat di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak menghala ke Genting Sempah setakat pukul 5 petang tadi.

PETALING JAYA – Pertambahan kenderaan di beberapa lebuh raya utama dilihat semakin meningkat susulan orang ramai ingin pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung masing-masing.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia, pertambahan kenderaan mulai kelihatan di Plaza Tol Gombak menuju ke Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak.

Namun keadaan trafik kelihatan masih terkawal dan lancar setakat pukul 5 petang ini.

Bagaimanapun, berbeza dengan keadaan di Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu di mana trafik dilaporkan perlahan 25 minit dari Setiu ke Chalok disebabkan pertambahan jumlah kenderaan.

Kelewatan juga turut dijangkakan selama setengah jam di Jalan Kota Bharu – Gua Musang dari Kuala Krai ke Batu Jong.

Dalam pada itu, di Lebuh Raya Plus, pihak berkuasa melaporkan terdapat kemalangan di KM 183.4 yang menjadi punca kesesakan dari Bukit Merah ke Along Pongsu.

Selain itu, di lebuh raya yang sama, kesesakan dari Gopeng ke Tapah juga berpunca daripada kerja pengalihan kemalangan di lorong kiri KM306.1 yang menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah.

Di Pulau Pinang, trafik dilaporkan sesak dari Perai ke Sungai Dua disebabkan pertambahan jumlah kenderaan.

Sementara itu, di Lebuh Raya Plus arah Selatan, berlakunya kemalangan di KM 157.6 arah utara dari Bukit Gambir ke Tangkak namun tiada lorong terhalang dan trafik dilaporkan terkawal.

Terdahulu kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja iaitu pada 8 dan 9 April depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata, insiatif itu adalah sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat beragama Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI