SEREMBAN – Empat beradik berusia tiga hingga 12 tahun menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka rentung dalam nahas dua buah kenderaan di Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi itu, mangsa, Abdul Halim Mat Rani, 34, dan isterinya, Noor Azeana Azreen Hasmadi, 32, dipercayai dalam perjalanan dari Beranang bagi menjemput anak bongsu mereka di rumah keluarga di Seremban untuk membeli baju raya.
Menurut bapa Noor Azeana Azreen, Hasmadi Ahmad, 56, hari raya pada tahun ini seolah-olah tiada maknanya lagi selepas mendapat perkhabaran sedih berkenaan.
Katanya, dia menghubungi anak sulung daripada lima beradik itu petang semalam untuk bertanyakan tentang persiapan raya empat cucunya yang terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki.
“Anak saya kata dia kerja dan akan balik malam. Jadi saya tanya sama ada dia sudah beli baju anak-anak, dia kata belum dan dia akan beli esok (hari ini). Mereka enam beranak dijangka akan beraya di Kampung Abdul Halim di Rembau.
“Ikutkan, Along berhajat raya tahun ini untuk bergambar kenangan bersama adik-beradiknya yang lain dan menunggu salah seorang adiknya yang beraya terlebih dahulu di kampung suami di Terengganu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, di sini hari ini.
Difahamkan, jenazah Abdul Halim tidak dapat diuruskan hari ini berikutan cap jari masih belum dapat dikesan, bagaimanapun jenazah Noor Azeana Azreen boleh diuruskan selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis BMW dengan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 36 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu kereta jenis BMW dalam perjalanan dari arah Mantin ke Seremban ingin memotong kenderaan di hadapannya lalu hilang kawalan serta terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori jenis Isuzu dipandu dari arah bertentangan lalu terbakar. – KOSMO ONLINE!