fbpx

Eain Yow lega penantian berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EAIN YOW meraih gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia PSA selepas muncul juara Terbuka Jerman di Hamburg semalam. - PSA

KUALA LUMPUR – Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow mengakhiri kejohanan Terbuka Jerman 2024 di Hamburg dengan penamat cemerlang apabila memastikan gelaran menjadi miliknya selepas menewaskan Dimitri Steinmann dari Switzerland di perlawanan akhir.

Pada aksi final yang berlangsung semalam, pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila memerlukan empat set untuk mencatat kemenangan 12-10, 11-8, 10-12, 11-3 dalam tempoh 66 minit.

Lebih manis, kemenangan itu turut menyaksikan Eain Yow menamatkan penantian apabila meraih gelaran pertamanya pada saingan Jelajah Dunia PSA biarpun Terbuka Jerman hanyalah kejohanan bertaraf Gangsa.

Pemain yang berada pada ranking ke-22 dunia itu mengakui sangat berpuas hati dengan aksi ditampilkan sepanjang kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi dia berjaya merangkul gelaran sulung saingan Jelajah Dunia.

“Saya rasa sangat lega kerana dapat melakukannya (muncul juara) pada hari ini (semalam). Saya fikir saya sudah menampilkan aksi cukup baik sepanjang minggu ini dan gembira untuk merealisasikannya.

“Aksi final sentiasa menjanjikan cabaran berbeza selain berdepan tekanan tambahan, jadi tidak sama dengan kemenangan di separuh akhir. Saya tahu ia akan menjadi sukar, lebih-lebih lagi bertemu Dimi (Steinmann),” katanya kepada PSA.

Kejayaan yang diraih Eain Yow pastinya meneruskan kesinambungan aksi cemerlang pemain skuasy negara selepas S. Sivasangari turut meraih gelaran juara pada kejohanan London Klasik minggu lalu.

“Dia (Steinmann) melakukan serangan demi serangan dan memaksa saya untuk banyak berlari. Bagaimanapun, saya kekal dengan perancangan sendiri dan gembira kerana ia membuahkan hasil,” tambah Eain Yow. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI