LIPIS – Botol berisi air kencing merupakan antara sampah yang dikutip di tepi laluan jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini selain pelbagai sampah lain yang dibuang pengguna di laluan berkenaan.
Operasi kutipan sampah dilakukan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora Sdn Bhd bermula semalam bagi memastikan kebersihan kawasan laluan berkenaan yang sering berhadapan isu pembuangan sampah.
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, dalam operasi berkenaan mendapati sampah seperti plastik, polisterin dan botol dan tin air minuman paling banyak dibuang pengguna jalan raya.
“Kita akan terus melakukan pemantauan dan kutipan sampah secara berkala dan kita juga meletakkan tong sampah di kawasan dikenalpasti.
“Kita juga melakukan pemantauan pada waktu malam dan bertemu dengan pengguna jalan raya yang berhenti di laluan berkenaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya pemantauan akan dilakukan berterusan di sepanjang laluan LTU iaitu dari Bentong hingga ke Lipis.
Beliau berkata, pihaknya bercadang meletakkan lebih banyak tong sampah di kawasan yang menjadi lokasi pengguna LTU berhenti.
Jelasnya, kawasan yang mempunyai lampu jalan dilihat menjadi lokasi pengguna LTU berhenti pada waktu malam untuk berehat.
“Kita lihat kawasan yang berhampiran tong sampah keadaan kebersihan lebih baik, jadi kita menambah jumlah tong sampah di kawasan dikenalpasti.
“Kita dapati walaupun masih ada pembuangan sampah tetapi pada masa ini ia semakin terkawal,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE