JAKARTA – Kira-kira 193 juta rakyat Indonesia dijangka meninggalkan bandar-bandar utama untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, lapor akhbar Arab News kelmarin.
Lebih dikenali sebagai mudik, perjalanan pulang ke kampung halaman dengan kesesakan jalan raya yang ekstrem itu menjadi peristiwa tahunan rakyat negara dengan populasi 270 juta orang tersebut.
Perjalanan beramai-ramai di negara majoriti penduduk beragama Islam itu menjadi salah satu pergerakan manusia terbesar di dunia, dengan pengembara mengharungi kesesakan beribu-ribu kilometer untuk pulang ke kampung bagi menyambut raya.
Menurut Kementerian Pengangkutan, lebih 123 juta orang terlibat dalam pergerakan mudik pada 2023, meningkat lebih 40 juta orang berbanding tahun sebelumnya.
“Hasil tinjauan menunjukkan 71.7 peratus rakyat Indonesia merancang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mudik ke kampung halaman masing-masing. Ini bersamaan dengan sekitar 193.6 juta orang.
“Ia pastinya lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya,” kata jurucakap Polis Republik Indonesia, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko kepada Arab News.
Kota Jakarta yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas, mula lengang ketika hujung minggu bermula apabila perniagaan ditutup.
Memandangkan kebanyakan orang pulang ke kampung dengan menaiki kereta, motosikal, kereta api dan bas, lebih 155,000 anggota keselamatan dikerah untuk mengawasi keselamatan pengguna.
Menurut Trunoyudo, kesesakan lalu lintas dijangka mencapai waktu puncak ketika hujung minggu.
“Kami mengerahkan 155,165 kakitangan yang melibatkan tentera, polis, kementerian dan institusi berkaitan, serta pihak berkepentingan lain.
“Kami juga memberi beberapa pilihan kepada pengembara termasuk pemberian diskaun untuk pengguna jalan raya pada 3, 4 dan 5 April.
“Ia memberi pilihan untuk mereka membuat perjalanan awal bagi mengurangkan kesesakan supaya tidak terkandas di waktu puncak,” jelasnya.
Tambah Trunoyudo, pihak berkuasa turut menyediakan helikopter tentera bagi membantu memindahkan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Bagi insiden yang memerlukan tindakan segera, Ketua Polis Negara telah memberi arahan untuk memastikan dua unit helikopter bersedia jika pemindahan diperlukan di sepanjang laluan Trans-Jawa,” kata Andiko.
Beliau merujuk kepada rangkaian lebuh raya sejauh 1,167 kilometer di sepanjang Pulau Jawa yang mempunyai paling ramai penduduk di Indonesia.
Setiap tahun, beratus-ratus pengguna maut akibat kemalangan jalan raya semasa mudik berlangsung.
Bagi tahun 2023, hampir 6,000 kemalangan direkodkan dengan meragut sekurang-kurangnya 726 nyawa. – AGENSI