PETALING JAYA – Pihak pengurusan Vern’s meminta maaf kepada semua pihak berkaitan berkaitan satu logo yang seakan-akan mirip kalimah Allah di bahagian tapak kasut wanita milik syarikat terbabit.
Menerusi satu kenyataan Vern’s berkata, pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
Malah katanya, logo itu 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.
“Bagaimanapun, terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.
“Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti jual dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru kata Vern’s, pihaknya memohon maaf atas kesilapan tersebut dan akan memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.
“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.
“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,”ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki mendakwa kasut yang dibelinya memaparkan logo seakan kalimah Allah pada bahagian tapaknya.
Perkara itu didedahkan pengguna Facebook yang dikenali sebagai Mohd Haridz yang membeli sepasang kasut buat isterinya.
Bagaimanapun, dia terkejut selepas mendapati terdapat seakan-akan perkataan Allah pada tapak kasut berkenaan.-KOSMO! ONLINE