fbpx

Sindiket proses jus dadah lumpuh, dadah bernilai RM2.2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Kumar (dua dari kanan) menunjukan berjenis dadah yang dirampas. - Foto BAAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Satu sindiket jus dadah lumpuh apabila polis merampas lebih 13 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis berjumlah RM2.2 juta susulan penahanan tiga ahli sindiket dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Setia Indah, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan pukul 1.30 tengah hari itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 51 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 32 tahun.

Katanya, susulan penahanan itu membawa kepada serbuan di sebuah lagi rumah teres dua tingkat di Seri Alam, di sini yang dijadikan tempat memproses semula dadah.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Januari lalu dengan memproses semula pelbagai jenis dadah menjadi serbuk jus pelbagai perisa. Setiap satu peket jus dadah ini dijual lebih RM200.

“Jus dadah yang diproses itu kemudiannya dijual kepada pelanggan tetap untuk dijual di kelab-kelab malam bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak polis telah berjaya merampas 345 peket serbuk ekstasi berperisa seberat 13.2kg, 27 biji pil ekstasi, enam peket syabu dan sepeket ketamin yang keseluruhannya berjumlah RM2.2 juta.

Dalam serbuan itu, polis juga telah menyita sebuah kereta mewah, sebuah motosikal dan sebentuk cincin emas yang keseluruhan bernilai RM121,506 serta wang tunai berjumlah RM 5,300.

Kumar berkata, hasil saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.-  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI