KUALA NERUS – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyediakan kemudahan kod respon pantas (QR) untuk dimanfaatkan pengguna jalan raya sekiranya berlaku kecemasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Pengarah APM Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, kemudahan tersebut disediakan bagi membantu orang ramai mengambil langkah awal sebelum ketibaan agensi menyelamat.
“APM akan membuat edaran pelekat kod QR kepada pengguna jalan raya semasa membuat rondaan dan pemantauan di jalan persekutuan dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 sepanjang Ops Prihatin ini.
“Operasi itu bermula Jumaat lalu sehingga 14 April depan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya
selepas melancarkan Ops Prihatin Aidilfitri peringkat Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Rosman berkata, pelbagai maklumat penting termasuk langkah-langkah awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan akan dipaparkan setelah mengimbas kod QR berkenaan.
Tambah beliau, pengguna juga akan dimaklumkan langkah pencegahan jenayah ketika musim perayaan.
“APM harap orang ramai memanfaatkan kemudahan disediakan tersebut selain mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Rosman memberitahu seramai 96 pegawai dan anggota APM Terengganu akan bertugas dalam rondaan di jalan persekutuan dan LPT 2 sepanjang Ops Prihatin berkenaan. – KOSMO! ONLINE