KOTA TINGGI – Mayat seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai meninggal dunia akibat lemas ketika memancing bersama tiga rakannya di sungai Gunung Panti, di sini petang tadi terpaksa dibawa keluar menaiki helikopter bomba.
Ketua Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.03 petang.
Menurut beliau, seramai 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan turut digerakkan adalah helikopter Agusta AW189-1.
“Pihak polis memohon bantuan helikopter kerana tiada akses untuk mengeluarkan mangsa tersebut. Bantuan udara dari unit udara bomba telah mengeluarkan mangsa dan menurunkan di padang awam Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE