PETALING JAYA – Pihak pengurusan Masjid Negara memohon maaf berhubung isu video tular melibatkan tindakan seorang pengawal keselamatan wanita meminta pengunjung lelaki memakai tudung.
Dalam satu kenyataan hari ini, Masjid Negara bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan pihaknya telah memberi teguran kepada pengawal keselamatan terbabit agar lebih peka dalam menjalankan tugas.
“Pihak Pengurusan Masjid Negara mengambil serius terhadap perkara ini dan dengan rendah hati memohon maaf di atas kekhilafan dan kekeliruan.
“Para pengunjung boleh mengemukakan aduan terhadap mana-mana tindakan pengawal keselamatan melalui kod imbas yang telah disediakan bersama-sama butiran pengawal keselamatan di meja pos masing-masing atau klik pautan yang diberikan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.
Sebelum ini, tular video memaparkan seorang pengunjung lelaki bingung apabila disuruh menutup rambut dan memakai jubah ketika memasuki Masjid Negara.
Melalui perkongsian video di TikTok lelaki itu, dia didatangi seorang wanita yang dipercayai pengawal keselamatan di masjid tersebut, secara tegas memintanya segera menutup ‘aurat’.
Lelaki berkenaan yang mempunyai rambut panjang paras bahu kemudian memaklumkan dia merupakan seorang lelaki dan tidak perlu menutup rambutnya.
Bagaimanapun pengawal tersebut masih bertegas menyuruh lelaki tersebut memakai topi serta jubah yang disediakan pihak masjid. – KOSMO! ONLINE