PETALING JAYA – Seorang lelaki terpaksa beraya seorang diri di ibu kota apabila isterinya lebih awal pulang ke Sarawak selepas berlaku perselisihan faham di antara mereka.
Pengakuan itu dibuat Salman selepas ditanya oleh geng 3 Pagi Era di Jalan Tuanku Abdul Rahman malam tadi.
Menerusi perkongsian video di Instagram Era.je itu, lelaki tersebut berkata, punca perbalahan dia dan isteri adalah disebabkan masalah kerja.
Katanya, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja tanpa berbincang dengan isteri sehingga membuatkan wanita itu terasa hati dan bertindak pulang ke kampung sendirian.
Dalam nada yang sayu dan terketar-ketar, Salman secara terbuka memohon maaf kepada isterinya dan mengakui tindakannya itu adalah satu kesilapan.
“Assalamualaikum sayang, abang nak minta maaf atas segala yang abang dah sakitkan hati sayang.
“Abang harap sayang maafkan abang sebelum hari raya ini. Abang doa sayang maafkan abang dan kita boleh raya bersama tahun ini.
“Abang betul-betul minta maaf pada sayang. I love you (aku cintakan padamu) sayang,” luahnya.
Menjengaj ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mendoakan agar isteri Salman berlembut hati memaafkan suaminya itu selain mereka dapat berkumpul menyambut Aidilfitri bersama. – KOSMO! ONLINE