TAIPEI – Kira-kira 400 orang masih terkandas dan menunggu untuk diselamatkan selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda Taiwan lewat minggu lalu, kata jabatan bomba pulau itu seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN.
Pihak berkuasa berkata, mereka yang terkandas dianggap selamat, namun terputus hubungan akibat tanah runtuh dan sekatan lain di jalan luar bandar di pantai timur pulau itu.
Agensi Bomba Kebangsaan (NFA) berkata, angka kematian meningkat kepada 13 orang setakat hari ini selepas tiga mayat lagi ditemui di laluan pendakian wilayah pergunungan itu.
“Dua mayat ditemui pada Jumaat (kelmarin) dan satu lagi ditemui pada hari Sabtu (semalam). Semua mayat yang ditemui itu masih dalam proses pengecaman dan pengesahan identiti.
“Sementara itu, lebih seribu orang sedang dirawat akibat cedera, manakala enam orang masih hilang,” kata NFA.
Operasi menyelamat pada semalam berterusan dihalang oleh cuaca buruk, demikian menurut pihak berkuasa Taiwan yang merancang untuk menghantar juruteknik dan satelit orbit rendah untuk membantu usaha menyelamat.
Menurut pihak berkuasa, kebanyakan mangsa terbunuh di luar rumah dalam bencana itu akibat ditimpa batu dan tanah runtuh.
Gempa bumi tersebut, yang paling kuat di Taiwan dalam tempoh 25 tahun, menggegarkan seluruh pulau tersebut pada Rabu lalu dengan gegaran dirasai sehingga ke Hong Kong dan Shanghai.
Jumlah kematian yang agak rendah itu dikatakan hasil daripada desakan kerajaan untuk kesiagaan selepas pengajaran daripada bencana serupa yang berlaku 25 tahun lalu. – Agensi