PETALING JAYA – Keadaan trafik dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi dilaporkan sesak lebih dua jam disebabkan pertambahan jumlah kenderaan setakat pukul 11 pagi tadi.
Jarak dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi adalah kira-kira 30 kilometer.
Menurut rakaman televisyen litar tertutup Lembaga Lebuh Raya Malaysia, trafik perlahan perlahan di satu, dua lokasi dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.
Antara lokasi yang terlibat adalah dari Gombak ke Genting Sempah, dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan dari Bukit Tinggi ke Lentang.
Aliran trafik juga dilaporkan telah mulai perlahan di Plaza Tol Gombak sejak pukul 7 pagi tadi lagi ekoran orang ramai yang memilih untuk pulang ke kampung hari ini.
Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja iaitu pada 8 dan 9 April depan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata, insiatif itu adalah sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat beragama Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat. – KOSMO! ONLINE