fbpx

‘Anak datang cium saya dalam mimpi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZALIFA (tengah) menunjukkan baju seragam sekolah yang dipakai Ahmad Zuhal dan Ahmad Marikh ketika kemalangan jalan raya, semalam.

SUNGAI SIPUT – Walaupun baru sehari pemergian dua anak lelaki kesayangan dalam kemalangan jalan raya, kerinduan seorang ibu bagaikan tidak tertanggung apabila membawa ke dalam mimpi.

Menurut Norzalifa Mohd. Yusof, 35, kehilangan dua anaknya iaitu Ahmad Zuhal Norazlan dan Ahmad Marikh amat dirasai sehinggakan dia tidak mampu untuk tidur lena.

Malah katanya, kerinduan yang tidak bertepi itu menyebabkan dia seolah-olah merasakan kehadiran dua beradik itu dekat dengannya.

“Semalam pun saya nampak mereka dalam mimpi. Adik datang cium saya dan abang pula minta maaf. Bila sedar, saya cuba tidur semula tapi terasa seperti ada tangan tepuk perlahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Salak Stesen, di sini hari ini.

Norzalifa berkata, pakaian seragam sekolah dua anaknya yang dipakai pada hari kejadian kini menjadi pengubat rindu buat keluarga.

“Pakaian dengan kesan darah tu dibawa pulang sebelum dibasuh pagi tadi dan jadi kenangan buat kami. Tak sangka mereka berdua dah tiada. Rindu sangat dengan keletah mereka.

“Sampai sekarang pun saya terbayang senyum dua beradik itu, tambahan lagi Marikh yang gemar buat memek muka,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai individu yang ditangkap bagi membantu siasatan kes kemalangan dua anaknya, Norzalifa berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap lelaki terbabit.

Katanya, tindakan lelaki itu memandu secara berbahaya menyebabkan dia kehilangan dua anak lelaki serentak pada ketika umat Islam lain sedang menantikan Aidilfitri.

“Saya tak mahu tengok muka dia (pelaku). Perasaan ini geram kerana dua nyawa anak saya melayang dan ia bukan mudah untuk diterima. Tapi nak buat macam mana, mereka pergi dalam bulan yang baik,” katanya.

Terdahulu, Norzalifa dan suami, Norazlan Tajuddin, 37, menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah yang menyampaikan sumbangan mewakili kerajaan negeri.

Turut hadir menyantuni keluarga berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.12 pagi semalam, motosikal Honda EX5 ditunggang Ahmad Zuhal, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI