JAKARTA – Seramai lapan juta penduduk Jakarta dijangka pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, lapor portal berita Kompas.com.
Anggaran jumlah warga kota yang kembali ke kampung itu diberikan oleh Perkhidmatan Pendaftaran dan Penduduk Awam, Daerah Kota Istimewa Jakarta (Disdukcapil).
Ketua Disdukcapli, Budi Awaludin berkata, keadaan itu berlaku selaras dengan anggaran peningkatan jumlah warga kota pulang ke kampung di peringkat nasional sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Kalau lihat anggaran secara nasional, akan ada kenaikan 60 peratus warga kota yang balik kampung iaitu dari 123 juta orang menjadi 193 juta orang.
“Bagaimanapun, di Jakarta, kami menganggarkan bilangan warga kota yang akan kembali ke kampung masing-masing adakah sekitar 7 juta hingga 8 juta orang,” kata Budi.
Berdasarkan Kalendar Hijrah Indonesia terbitan Kementerian Agama, 1 Syawal dijangka jatuh pada Rabu ini namun pemerintah akan mengumumkan secara rasminya tarikh Hari Lebaran. – AGENSI