fbpx

Warga kota mula balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perantau mula memenuhi terminal bas utama di Lembah Klang hari ini.

SHAH ALAM – Warga Lembah Klang mula pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang berbaki lima hari lagi.

Tinjauan Kosmo! di Terminal Bas Shah Alam mendapati, suasana mulai sesak namun terkawal dengan orang ramai pulang awal bagi melepaskan kerinduan dan membuat persiapan perayaan itu.

Seorang jururawat sebuah hospital swasta, Nurul Ainul Ahmad Rashid, 29, berkata, memanfaatkan cuti awal diberikan untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan susulan terpaksa bertugas semula pada syawal pertama.

“Tahun ini, giliran saya pula untuk bekerja pada hari raya kerana sudah bercuti pada tahun lalu.

“Walaupun kena kerja tahun ini, tetap bersyukur dapat pulang ke kampung dan bantu orang tua lakukan persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Berbeza pula bagi pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Nur Afirah Mohamad Yusri, 21, yang hampir beraya di tempat pengajian susulan lambat membeli tiket bas pulang ke Alor Star, Kedah.

Ujarnya, ini berikutan ibu bapanya pada mulanya ingin mengambilnya namun berubah disebabkan mereka terpaksa bekerja di luar negara pada saat akhir.

“Mereka maklum pada saya pada Isnin lalu dan hanya akan kembali ke tanah air pada Ahad ini. Jadi, mereka minta saya balik rumah naik pengangkutan awam.

“Serentak itu, saya terus cari tiket bas menerusi laman sesawang dan berjaya membelinya,” katanya.

Sementara itu, peniaga kuih raya, Suzilah Suzana Che Daud, 35, nekad beraya bersama ahli keluarganya di Kuala Terengganu, Terengganu selepas empat tahun di perantauan.

“Sebelum ini akibat Covid-19 dan tahun lalu disebabkan sibuk uruskan banyak tempahan kuih raya. Kali ini, saya mahu lepas rindu dengan sambut Aidilfitri dengan keluarga,” kata anak sulung daripada lima beradik itu. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI