PETALING JAYA – Pertambahan kenderaan sejak tengah hari tadi mengakibatkan trafik perlahan dan sesak lebih 18 kilometer (km) dari Plaza Tol Gombak sehingga Bentong.
Ia susulan orang ramai dilihat sudah memulakan perjalanan ke kampung bagi menyambut perayaan Aidilfitri, minggu depan.
Menurut Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Trafik, setakat pukul 6.30 petang, trafik perlahan sepanjang 13.2 km dari Gombak ke Genting Sempah dan Bukit Tinggi.
“Kesesakan itu dilaporkan terus berlaku sepanjang 3.8 km dari Bukit Tinggi ke Lentang sebelum bersambung 1.7 km sehingga Bentong,” katanya, sebentar tadi.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, trafik juga sedikit perlahan di Lebuh Raya Utara-Selatan ekoran kemalangan.
“Terdapat kemalangan di KM 153.9 arah selatan dari Bukit Gambir ke Pagoh dan di KM 14.5 arah utara dari Kempas ke Skudai. Bagaimanapun trafik lancar dan terkawal,” ujarnya.
Selain itu, katanya, aliran trafik sesak dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi ekoran kemalangan di KM 237.7 yang menyebabkan lorong kiri dan lorong tengah terhalang. – KOSMO! ONLINE.