fbpx

Strok haba : Budak 3 tahun muntah ketika bermain dalam kereta datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Abeel Qaiz

BACHOK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut akibat strok haba di negeri ini mengalami muntah-muntah sebelum tidak sedarkan diri semasa bermain di dalam kereta datuknya pada Jumaat lalu.

Muhammad Abeel Qaiz Faizal Fazrin disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu selepas empat hari berada dalam keadaan tidak stabil ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini.

Bapanya, Faizal Fazrin, 33, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari pada Jumaat minggu lalu ketika mangsa bermain bersama kembarnya dan dua lagi abang di dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback milik datuknya yang digunakan untuk memunggah kelapa.

Menurutnya, ketika sedang seronok bermain, abang sulungnya berusia tujuh tahun keluar dari kereta kerana hendak ke tandas akibat sakit perut.

“Dua lagi adik-beradiknya keluar dari kereta kecuali Muhammad Abeel Qaiz yang tetap mahu bermain di dalam kereta itu.

“Kira-kira pukul 1.45 tengah hari, abang sulungnya perasan mangsa masih berada di dalam kereta tersebut tanpa membuka cermin tingkap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Faizal Fazrin yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini memberitahu, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah kerana akan bertugas pada waktu malam.

Katanya, menyedari Muhammad Abeel Qaiz muntah sebelum jatuh dan tidak sedarkan diri, ibunya bergegas membawa mangsa masuk ke rumah dan dimandikan menyejukkan badannya.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya ke Klinik Kesihatan Bachok di sini kira-kira pukul 2.30 petang sebelum dirujuk ke HUSM.

“Selepas empat hari menerima rawatan di HUSM, Muhammad Abeel Qaiz disahkan meninggal dunia akibat strok haba,” ujarnya.

Tambah Faizal Fazrin, dia mengesyaki anaknya berada dalam keadaan terlampau panas semasa bermain di dalam kereta tanpa membuka tingkap.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menjadi mangsa strok haba di negeri ini sempat menerima rawatan di hospital sebelum meninggal dunia pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr.Zaini Husin berkata, mangsa mula dirawat dan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 April lalu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI