fbpx

Sampah Syawal Selangor dijangka naik 13 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (tengah) ketika sidang akhbar di pejabatnya di Shah Alam, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Jumlah sampah domestik sehari sepanjang Syawal ini dijangka meningkat sebanyak 13 peratus berbanding hari biasa di Selangor.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, kutipan sampah domestik secara puratanya dianggarkan antara 6,000 hingga 7,000 tan sehari pada bulan biasa.

Katanya, kawasan Majlis Perbandaran Kajang merupakan paling banyak sampah kerana lokasi yang besar dan padat perumahan dengan kutipan hampir 1,000 tan sehari.

“KDEB sentiasa bekerjasama rapat dengan pengendali tapak pelupusan di Jeram, Bukit Tagar dan Tanjung 12 agar jadual operasi mereka tidak terlalu ketat dan memudahkan kerja pelupusan dijalankan.

“Kita turut berharap para penduduk tidak menghalang kenderaan masuk di kawasan kutipan bagi mengelakkan sebarang kemalangan dan perkara tidak diingini semasa kutipan dilakukan KDEB,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 1,300 lori sampah termasuk jenis roro akan digerakkan dengan keanggotaan seramai 3,500 bagi kutipan sampah setiap hari sepanjang Aidilfitri ini.

Tambah beliau, pihaknya hanya akan menyediakan tong roro di tiga buah pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Sepang susulan permintaan bagi pembuangan sampah pukal termasuk almari, meja sempena Aidilfitri ini.

“Selain itu, saya juga memberi amaran keras kepada pekerja-pekerja supaya tidak meminta duit raya kepada para pelanggan atau penduduk.

“Ada saya terima aduan pekerja kita bunyikan loceng dan berada di depan pagar rumah atas tujuan tersebut. Setiap tahun, kita ada tangkap mereka yang mengambil kesempatan dan telah dibuang (kerja),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI