KUALA LUMPUR – Lebih RM122 juta telah dibelanjakan bagi pengurusan 20 depot imigresen di seluruh negara termasuk depot imigresen sementara pada tahun 2023.
Kos tersebut meliputi perbelanjaan utiliti, sajian makanan, barangan keperluan asas serta kos penghantaran pulang tahanan ke negara masing-masing.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perbelanjaan tersebut merupakan bukti tahanan yang ditempatkan di depot imigresen dijaga dengan belas ihsan, bukannya seperti apa yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.
Malah, beliau juga menafikan berlakunya penyeksaan dan kematian di depot tahanan imigresen di negara ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Human Rights Watch (HRW).
“Tujuan saya turun padang pada hari ini adalah untuk melihat sendiri aspek keselesaan dan kebajikan para tahanan. Sebabnya, walaupun mereka masuk menyalahi undang-undang, penjagaan mesti ada sifat kemanusiaan.
“Sekarang kita berada di bawah pentadbiran kerajaan Madani, perlu ada nilai ihsan dari segi layanan terhadap tahanan,” ulasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni Jabatan Imigresen Malaysia Bersama Menteri Dalam Negeri 2024 bertempat di Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini hari ini.
Tambah Saifuddin, pihak imigresen juga sedang menaik taraf depot supaya tahanan dapat tinggal dalam keadaan yang lebih selesa dan kondusif.
“Kami juga telah berbelanja sebanyak ratusan juta untuk proses naik taraf. Ini menunjukkan kelompok yang menyalahi undang-undang ini diuruskan secara berperikemanusiaan.
“Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM53.1 juta untuk depot. Lenggeng, RM98 juta untuk depot Pekan Nenas, RM8.1 juta untuk depot Bekenu dan RM12.5 juta untuk depot Sandakan, Kota Kinabalu, Papar dan Tawau.
“Antara perkara yang kami naik taraf adalah pagar biasa kepada pagar anti panjat (anticlimb). Kami juga sudah pasang kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera keselamatan di sekitar kawasan depot untuk pemantauan,” katanya.
Menurut Saifuddin, laporan HRW juga berat sebelah dan tidak berlaku adil terhadap Malaysia, khususnya Jabatan Imigresen Malaysia.
“Mereka boleh terus bercakap, tetapi biar rekod tunjukkan. Tinjauan hari ini memberikan saya informasi ‘first hand’.
“Benar ada beberapa aspek perlu tambah baik, tetapi banyak perkara yang sudah maju. Malah cara kita mengurus (tahanan) juga terbukti berperikemanusiaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.