SUNGAI SIPUT – Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam insiden langgar lari di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Taman Desa Salak Jaya di sini, berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun pada pukul 1.20 petang.
Katanya, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas suspek namun keputusannya adalah negatif.
“Sampel darah suspek yang merupakan seorang kontraktor itu juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut.
“Kita juga turut merampas kenderaan yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khaizam, permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Bedah siasat telah dijalankan terhadap mangsa dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan ‘polytrauma with suspected neck injury/ cervical fracture’,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang memandu dari arah Kuala Kangsar ke Ipoh memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba.
Katanya, kenderaan itu kemudiannya merempuh motosikal yang dinaiki dua pelajar terbabit menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.