fbpx

Lelaki dakwa kena ‘pau’ dua anggota polis di BSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIM (kiri) berbincang dengan Heng Zhi Li berhubung laporan polis dibuat mendakwa diperas ugut dua anggota polis di BSI Johor Bahru, Selasa lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki bekerja di Singapura mendakwa telah menjadi mangsa peras ugut dua anggota polis ketika berada di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 29, memberitahu, kejadian berlaku pada pukul 10 malam, Selasa lalu ketika dia dalam perjalanan pulang memasuki Malaysia.

Katanya, dia ditahan dua lelaki berpakaian preman yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis selepas melalui pelepasan keselamatan di premis berkenaan.

“Dua lelaki yang mendakwa sebagai polis itu telah mengambil telefon dan pasport saya. Mereka kemudian membawa saya ke sebuah bilik yang dimasuki menggunakan kad akses.

“Saya kemudian ditinggalkan selama kira-kira 30 minit di bilik berkenaan, kononnya untuk disoal siasat kerana telah melakukan kesalahan yang serius, namun apabila ditanya apakah kesalahan itu mereka enggan memberitahu.

“Mereka memberitahu saya akan ditahan di lokap sebelum dibawa ke mahkamah esok, menyebabkan saya berasa takut kerana boleh kehilangan kerja di Singapura setelah 10 tahun mencari makan di republik itu,” katanya.

Lim berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li.

Tambah pemuda itu, salah seorang daripada lelaki berkenaan kemudian memberitahu mereka boleh membebaskannya sekiranya sanggup membayar RM2,000.

“Saya memberitahu mereka tidak mempunyai wang sebanyak itu, sebaliknya hanya memiliki RM1,000 di dalam akaun. Saya kemudian diminta mengikuti salah seorang anggota polis itu menaiki motosikal untuk ke stesen minyak berhampiran bagi mengeluarkan duit di mesin ATM. Setelah pergi ke mesin ATM di Taman Pelangi, baharulah wang RM1,000 dapat dikeluarkan.

“Ketika dalam perjalanan pulang, saya mengadu sesak nafas, sebelum dia berhenti di sebuah hentian bas. Kebetulan ada pasangan tempatan di kawasan berkenaan menyebabkan anggota polis itu meminta pasangan tersebut membantu saya kerana dia perlu bergegas pulang ke balainya.

“Saya kemudian mendapatkan semula pasport saya sebelum anggota berkenaan meninggalkan saya di situ. Wang RM1,000 yang dikeluarkan tadi juga tidak diberikan kepada anggota berkenaan,” ujarnya sambil memberitahu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Larkin, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Zhi Li menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut yang dilihat sebagai serius kerana ia berlaku di pintu sempadan masuk utama ke negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mangsa dan berkata siasatan akan dibuat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI