fbpx

Laung azan lihat puting beliung terbangkan bumbung rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk, Ahmad Nayan Hussin, 60, menunjukkan bumbung surau dan sebuah gerai rosak selepas kejadian ribut di Kampung Sungai Udang, Yan malam tadi.

YAN – Tiada apa yang mampu dilakukan penduduk melainkan melaungkan azan apabila melihat puting beliung menerbangkan bumbung rumah di Taman Nusantara, Sungai Udang di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, sebanyak 20 rumah di taman perumahan itu rosak dibadai ribut dan turut terjejas beberapa buah rumah penduduk dan sebuah surau di Kampung Sungai Udang.

Seorang penduduk Taman Nusantara, Zainab Abu Hassan, 47, berkata, ketika kejadian, dia dan enam anaknya sedang bersiap untuk tidur.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi deruan angin yang sangat kuat menghampiri rumah dan bergegas bangun untuk melihat apa yang berlaku.

“Sebaik keluar dari bilik, saya tergamam melihat ramai jiran telah berada di luar rumah sambil melaungkan azan selepas bumbung rumah masing-masing diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi Muhammad Ridzuan Abdul Manan, 37, berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen selepas makan malam bersama keluarganya.

“Ketika itu hujan tidak lebat pun, tetapi deruman angin jelas dapat didengar sedang menghampiri rumah menyebabkan saya bertindak keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Tiba-tiba pusaran angin menerbangkan bumbung atap genting rumah saya dan rumah beberapa orang jiran menyebabkan kami menjadi panik,” katanya yang mengaku turut melaungkan azan bersama jirannya.

Kata kerani sebuah sekolah di Kota Sarang Semut itu lagi, walaupun kejadian itu hanya berlaku tidak sampai 15 saat, namun dia mengalami kerugian apabila siling  rumahnya rosak dihempap atap genting yang diterbangkan angin puting beliung dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Bali Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Penguasa Bomba Noorhaidi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.39 malam.

“Kejadian berlaku ketika angin kencang menyebabkan sebahagian besar rumah penduduk alami kerosakan di bahagian bumbung dan siling.

“Bagaimana pun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hingga setakat ini penduduk telah membaiki bumbung rumah masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI