fbpx

‘Kami rancang beli baju raya Zuhal, Marikh malam ini tapi..’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua beradik itu disemadikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor hari ini.

SUNGAI SIPUT –  Makan sahur bersama menjadi kenangan terakhir pasangan suami isteri apabila dua daripada empat anak mereka maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 38.9, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.12 pagi di persimpangan Taman Desa Salak di sini, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, parah dan maut di lokasi kejadian.

Ibu dua beradik itu, Norzalifa Mohd. Yusof, 35, berkata, mereka sekeluarga jarang makan bersama ekoran ruang dapur rumah yang sempit.

“Pagi tadi, semua sahur bersama di depan (ruang tamu), makanan yang ada di atas meja diangkat dan dibawa turun ke bawah.

“Selalunya, kami jarang makan bersama. Kadang-kadang mereka makan dulu dan kami makan di dapur. Tak sangka pagi tadi menjadi sahur terakhir yang lengkap untuk kami anak beranak,” katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor di sini hari ini.

Menurut Norzalifa, dia dan suami merancang membawa anak-anaknya itu untuk membeli pakaian raya tambahan lagi Ahmad Marikh berulang kali bertanyakan warna pakaian yang akan dipakai pada satu Syawal nanti.

Katanya, anak bongsunya itu dilihat tidak sabar untuk membeli pakaian baharu apabila turut bertanyakan soalan sama ketika bersahur tadi.

“Adik (Ahmad Marikh) cakap seronok sebab lagi seminggu lagi nak raya. Dia tanya saya apa tema dan warna raya tahun ini. Dia beritahu perlu pakai baju raya ketika sambutan raya di sekolah.

“Saya rancang untuk pergi beli baju raya malam ini dan bawa dia bersama. Sedih sebab tidak sempat beli apa pun untuk mereka,” katanya.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anak kedua dan bongsu daripada empat beradik itu ketika berada di tempat kerja di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian namun ketika sampai, kedua-dua anak lelakinya itu telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Saya lihat mereka seolah-olah sedang tidur. Tak sangka dugaan ini yang berlaku, walaupun susah nak terima tapi kami sekeluarga reda,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.12 pagi itu, motosikal Honda EX5 ditunggang dua beradik terbabit dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba.

Nahas itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan melarikan diri. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI