fbpx

Hilang kerja demi jaga isteri, bayi pramatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR ADYLA setia bersama bayi sulungnya selepas menjalani pembedahan akibat darah beku di kepala baru-baru ini.

KUALA SELANGOR – Kehidupan ceria tiga beranak berubah mendadak selepas si isteri di­sahkan mengalami darah beku di kepala sehingga perlu menjalani pembedahan.

Situasi itu menyebabkan suami wanita itu, Azampazli Ismail, 39, terpaksa berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran untuk menjaga Nor Adyla Ahmad, 32, dan bayi sulung mereka, Puteri Ayla Alyssa yang berusia enam bulan.

Menurut Azampazli, semua­nya bermula selepas isterinya jatuh pengsan sebaik keluar dari kereta ketika mereka pulang bercuti Tahun Baharu Cina pada 9 Mac lalu.

“Isteri pada mulanya dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang dan kemudian ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut. Namun, hati ini luluh apabila pegawai perubatan mengesahkan isteri saya mengalami pendarahan beku di kepala,” katanya kepada Kosmo!.

Jelas Azampazli, Nor Adyla terpaksa menjalani pembedahan tempurung kepala kiri yang menyebabkan badan kanannya tidak boleh bergerak.

“Tumpuan saya kini menjaga isteri tercinta yang terlantar di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh dan dianggap sebagai rumah kedua kami,” ujarnya.

Menurutnya, Nor Adyla sebelum ini bekerja sebagai guru di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pulau Pinang dan merupakan seorang yang aktif serta periang.

“Kehidupan isteri sangat sukar apabila dia turut mengalami masalah hilang ingatan selain badan semakin kurus,” katanya.

Tambah Azampazli, dia kini menumpang di rumah ibunya di Kampung Bestari Jaya di sini bagi memudahkan urusan melawat isteri dan penjagaan anak.

“Saya perlu berulang-alik ke PKKN untuk menjaga isteri dan memerlukan kos lebih-lebih lagi apabila tidak bekerja,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada keluarga itu boleh menghubunginya di talian 012-9348503.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI