fbpx

Harumanis dijual RM40 sekilogram munasabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUANKU Syed Faizuddin (tengah) melihat mangga harumanis selepas melancarkan Festival Mangga Harumanis 2024 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini semalam.

KANGAR – Harga harumanis Perlis yang mampu mencecah RM40 dalam pasaran tempatan dan lebih lagi jika dipasarkan di luar negeri itu adalah adalah munasabah kerana penjagaan pokok mangga tersebut amat rumit dan sukar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, baginda sedia maklum setiap pengusaha perlu menguruskan tanaman harumanis ini setiap hari, malah terpaksa berdepan keadaan cuaca tidak menentu dan serangan perosak serta penyakit yang boleh menyebabkan pengeluaran hasil tanaman itu terjejas.

“Musim pengeluaran mangga harumanis tahun ini baru bermula dan insya-Allah akan berhasil sehingga bulan Jun 2024. Pengeluaran buah ikonik Perlis ini sememangnya amat dinanti-nantikan kerana tanaman ini hanya berbuah sekali sahaja setahun.

“Dalam usaha bagi memastikan penghasilan mangga berkualiti premium ini berada pada tahap terbaik, pengusaha harus mengikut saranan, khidmat nasihat dan sentiasa mengikuti kursus dianjurkan oleh Jabatan Pertanian,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2024 di Masjid Tuanku Syed Putra di sini semalam. Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan putera baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Titah Tuan Syed Faizuddin lagi, baginda menyeru agar semua pihak memainkan peranan penting dan berganding bahu dalam memastikan setiap isu di setiap rantaian dapat ditangani dengan berkesan bagi meningkatkan pengeluaran dan memelihara kualiti buah harumanis Perlis.

“Buah harumanis Perlis mempunyai permintaan tinggi di pasaran. Bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025, mangga itu merupakan salah satu tarikan utama pengunjung dalam atau luar negara datang ke negeri Perlis.

“Ianya dapat mengetengahkan negeri Perlis sebagai destinasi agro pelancongan popular di dalam negara sekali gus dapat memperkasakan lagi ekonomi dan membantu pengusaha serta usahawan industri hiliran meningkatkan sumber pendapatan mereka,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI