KANGAR – Bekalan dan harga barangan keperluan di negeri Perlis berada dalam keadaan stabil dan tiada peningkatan mendadak dikesan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Farah Adlina Ropaie berkata, pemeriksaan ke atas barangan keperluan seperti daging, ayam, cili, timun dan beberapa lagi barangan adalah mencukupi.
“Semua anggota penguat kuasa KPDN digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan sama ada di peringkat pemborong dan peruncit bagi mengesan kenaikan harga barangan menjelang musim perayaan.
“Dengan cara ini, tindakan segera boleh diambil seandainya berlaku kenaikan harga sesuka hati,” katanya selepas melakukan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pasar Besar Sena, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Peniaga-Peniaga Pasar Besar Sena, Saad Isa, 77, berkata, bekalan barangan yang dipasarkan oleh peniaga di pasar berkenaan adalah mencukupi dan tidak menunjukkan kenaikan harga ketara.
“Peniaga di pasar ini juga tidak akan menaikkan harga sesuka hati berikutan perlu bersaing dengan pengusaha lain di luar yang menawarkan harga lebih berpatutan.
“Sebelum ini, dari segi bekalan, memang stok telur tidak menentu namun kini ia telah stabil dan mencukupi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE