SEJAK dilancarkan pada 2020, peraduan ‘Gaji Seumur Hidup’ Nestle telah menjadi platform penting bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk merealisasikan impian mereka.
Malah, ia juga turut menyokong pelbagai badan amal pada saat-saat genting semasa sekatan pergerakan disebabkan pandemik Covid-19.
Kini setelah empat tahun berlalu, Nestle menganjurkan semula peraduan tersebut dengan aspirasi untuk meningkatkan taraf hidup individu sambil menyumbang kepada tujuan amal.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, kejayaan ‘Gaji Seumur Hidup’ pada 2020 menunjukkan komitmen mereka untuk mengubah kehidupan ramai menjadi lebih baik sambil memacu impak yang bermakna dalam komuniti setempat.
“Kami sangat teruja untuk menganjurkan semula peraduan ini dengan edisi seterusnya akan datang tidak lama lagi pada 2024.
“Ini akan memberi lebih ramai rakyat Malaysia peluang luar biasa untuk mencapai impian mereka dan bersatu dalam menyebarkan kebaikan untuk masyarakat,” katanya.
Bagi para pemenang ‘Gaji Seumur Hidup’ Nestle sebelum ini, hadiah kemenangan yang diterima mendatangkan kesan yang mendalam dalam hidup mereka.
Bagi pemenang hadiah utama ‘Gaji Seumur Hidup’ 2020, Amirrul Hafiz Razak, 36, yang berasal dari Pahang, kemenangannya itu telah menjadi satu titik perubahan baginya.
“Saya menghadapi banyak kesukaran sebelum menjadi finalis, terutamanya sewaktu itu saya dan isteri sedang menantikan kelahiran zuriat pertama kami, menjadikan kemenangan ini lebih bermakna.
“Sebagai salah seorang finalis termuda, saya hanya berhasrat untuk mendapatkan hadiah mingguan,” kata beliau.
Tambahnya, kemenangan itu adalah luar dari jangkaannya dan hadiah wang tunai benar-benar telah mengubah kehidupan dia sekeluarga.
Amirrul Hafiz turut mengucapkan rasa syukur kerana dapat membantu ibu bapa, menjamin masa depan anak-anak, membeli rumah yang diimpikan dan terus menyokong badan-badan amal.
Malah, hadiah wang tunai diterima akan menjadi tambahan kepada pencen selepas bersara daripada jawatannya sebagai juruteknik tentera.
Dalam pada itu, Azahari Salleh, 46, yang merupakan salah seorang naib juara juga merasakan pengalaman itu cukup bermakna bagi dirinya.
Dia yang merupakan pemenang untuk ‘Gaji Setahun’ berkata, perniagaan kedai komputernya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, memaksanya beralih kepada jualan dalam talian.
“Saya terpanggil untuk menyertai ‘Gaji Seumur Hidup’ 2020 selepas melihat kesusahan dan pemberhentian kerja memberi kesan ke atas kehidupan ramai.
“Kemenangan ini bukan sahaja telah membina jaringan keselamatan kewangan buat saya dan isteri, malah membantu meluaskan perniagaan saya,” jelas Azahari.
Tambahnya, kemenangan itu memberi harapan baharu dan memenuhi impiannya untuk menunaikan umrah serta membiayai tanah pusaka keluarga.
Seperti Azahari, dia juga komited untuk memberi kembali dan menggunakan hadiah daripada Nestle untuk tujuan amal.
Di sebalik hadiah wang tunai yang mengubah kehidupan para pemenang, menerusi peraduan ‘Gaji Seumur Hidup’, Nestle turut menyediakan sumbangan wang tunai kepada 17 badan-badan amal tempatan yang dipilih oleh para finalis sendiri.
Dengan memperkasakan rakyat Malaysia untuk mencalonkan badan-badan amal yang dekat di hati mereka, syarikat itu berhasrat mewujudkan semangat muhibah melalui peraduan tersebut.
Berkongsi kesan positif peraduan itu, Bendahari PERTIWI, salah satu badan amal yang dicalonkan pada 2020, Elinor Kamalul Azmi berkata, sumbangan Nestle tepat pada masanya.
Menurutnya, sumbangan itu membolehkan mereka mengagih lebih 14,000 hidangan panas untuk memberi khasiat kepada golongan miskin bandar dan gelandangan yang bergelut semasa kemuncak pandemik Covid-19.
“Ini bukan sahaja mengisi perut kosong tetapi juga membantu meringankan beban, membolehkan keluarga yang kurang bernasib baik untuk mengutamakan sumber kewangan bagi perbelanjaan lain seperti pembelian susu dan lampin bagi anak-anak mereka yang masih kecil,” ujarnya.
Satu lagi pertubuhan amal yang menerima sumbangan daripada peraduan berkenaan sebelum ini adalah Pusat Autisme IDEAS.
Pengetua dan Pengurusnya, Sharifah Salleh berkata, sumbangan itu telah membantu sesi terapi yang sangat diperlukan.
“Selain itu, ia juga membantu menyediakan sokongan kesihatan mental secara atas talian untuk ibu bapa dan kanak-kanak autisme, serta penyediaan alat bantu mengajar untuk program pembelajaran di rumah yang disesuaikan untuk kanak-kanak ini.
“Sumbangan ini digunakan untuk menyediakan bekalan makanan dan mengagihkan produk kesihatan kepada keluarga B40 bagi meringankan beban mereka semasa Covid-19,” katanya. -KOSMO! ONLINE