fbpx

Coretan diari ibu dorong Elly ubah nasib hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELLY tidak pernah takut bersaing dengan usahawan lain dalam bidang andaman.

PENGALAMAN hidup susah dan serba kekurangan terutama ketika zaman persekolahan pasti menjadi memori yang sukar dilupakan.

Apatah lagi jika diuji terus-menerus dengan masalah kewangan keluarga yang sentiasa tidak mencukupi sehingga membuatkan suasana belajar di sekolah tidak sempurna.

Itulah yang dirasai oleh Hasnoor Hashim, 29, ketika zaman sekolah sehingga meraih perhatian netizen saat diceritakan kepada umum.

Hasnoor atau mesra disapa Elly dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat berkata, dia pernah melihat ibunya menangis teresak-esak saat menceritakan kesusahan dan nasib hidup dalam diari.

Elly berkata, itulah antara penyebab dia berusaha keras mencari rezeki untuk memastikan keluarganya keluar daripada kepompong kesusahan.

“Saya masih ingat masa darjah dua, saya ada jamuan makan di sekolah.

“Jadi, saya beritahu ibu kena bawa kuih. Namun, saya tahu keluarga kami tak mampu, jadi saya minta ibu sediakan kuih jemput-jemput saja.

“Ibu saya cuma diamkan diri. Tapi saya ada nampak lepas itu dia menulis dalam diarinya sambil menangis.

“Jadi, saya yang masih budak ketika itu dengan penuh rasa ingin tahu mencuri-curi baca catatan tersebut.

“Ibu saya meluahkan rasa terkilan dan sedih sebab tidak mampu hendak penuhi permintaan saya.

“Paling sedih apabila ibu tulis, dia rasakan dirinya ibu yang tidak berguna,” katanya.

Menurut wanita kelahiran Kemaman, Terengganu itu, bapanya dahulu hanya bekerja sebagai pemandu lori, manakala ibu pula pembantu di sebuah kedai makan.

Elly berkata, kesusahannya bersama 11 lagi adik-beradik sudah berada di tahap maksimum sehingga terpaksa menjamah nasi dengan air sebagai kuah.

Bukan itu saja, sewaktu di sekolah, Elly tidak mempunyai kawan kerana keadaan pakaian sekolahnya yang sudah lusuh dan buruk.

“Saya sedih dan menangis bersendirian, namun lama-kelamaan saya mula faham tentang kesusahan keluarga,” ujarnya.

ELLY bersama suami dan tiga anaknya.

Walaupun pelbagai dugaan dilaluinya di zaman persekolahan, namun Elly tetap berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.

Ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu, kehidupan mereka sekeluarga mula berubah apabila bapanya melakukan dua pekerjaan iaitu memandu lori dan menyewakan sistem bunyi.

“Alhamdulillah, semasa sekolah menengah, keluarga saya sudah tak susah sangat sebab bapa buat dua kerja.

“Namun, saya kesian kerana bapa ada penyakit gout.

“Jadi, dia tak boleh bawa lori lama-lama sebab kaki akan bengkak dan mengganggu kerjanya,” tuturnya.

Jelas Elly yang bernikah pada 2014, kehidupannya berubah setelah terlibat dalam bidang andaman dan membuka kedai pakaian terpakai (bundle) di Kemaman.

Akuinya, kesusahan semasa zaman kanak-kanak menjadi punca kekuatan dan pencetus semangat kepadanya untuk bekerja keras sehingga berjaya.

Malah, dia menjadikan bapanya sebagai contoh dan tauladan untuk berjaya, selain berjanji tidak akan membiarkan anak-anak merasai kesusahan yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu.

“Saya bekerja keras mencari rezeki demi anak-anak. Saya tidak mahu mereka hidup susah macam saya.

“Alhamdulillah, sekarang saya ada rezeki sedikit dan sudah boleh bantu adik-beradik lain serta ibu bapa.

“Saya jadikan pengalaman pahit itu sebagai penguat semangat. “Apabila saya rasa down atau tak bersemangat, saya akan ingat semula fasa kesusahan dahulu.

“Ini bagi memastikan saya terus berusaha tanpa jemu,” katanya.

Berkongsi sedikit cabaran dalam bisnes, Elly tidak menafikan apa sahaja kerjaya dalam dunia ini ada ujian dan rintangannya.

Begitu juga dengannya yang terlibat dalam dunia andaman.

Katanya, perniagaan itu banyak persaingan.

Namun, dia sesekali tidak takut dengan persaingan, sebaliknya akan sentiasa memberikan yang terbaik dalam perniagaan.

“Saya sudah dandan ramai orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan demografi.

“Jika kerja yang kita lakukan dapat memuaskan hati pelanggan, pasti pujian dan peluang lain akan ikut sama.

“Jadi, lakukan sehabis baik. Selebihnya, serahkan kepada-Nya untuk menentukan rezeki kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI