fbpx

‘Anak janji hadiahkan keluarga skrol diploma’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOTOSIKAL yang ditunggang Muhammad Fadzri terlibat dalam kemalangan di Kilometer 121.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) malam tadi.

BATU PAHAT – Janji seorang pelajar Kolej Vokasional Bukit Katil, Melaka untuk menghadiahkan kejayaan memperolehi sijil diploma kepada keluarganya tidak sempat ditunaikan selepas maut dalam perjalanan pulang ke rumah malam tadi.

Malah janji Muhammad Fadzri Aiman, 20, untuk bekerja di Pasir Gudang dalam jurusan pemesinan perindustrian pada 24 April akan datang hanya tinggal kenangan walaupun sudah lulus dalam temuduga sebelum ini.

Bapa mangsa, Mohd. Fadzli Ramli tidak menyangka kejadian sedih itu menimpa anaknya selepas hanya beberapa jam meraikan kejayaannya dan ketika umat islam bersiap-siap untuk menyambut kedatangan Aidilfitri.

Katanya, ketika menghubunginya selepas menerima skrol diploma, anak kedua daripada tujuh adik bersungguh-sungguh untuk menghadiahkan kejayaan kepadanya sebelum menyatakan akan bergerak balik ke Johor Jaya malam tadi.

“Saya menunggu kepulangannya hingga terlelap sebelum dimaklumkan oleh adiknya, Muhammad Fadzmi Aiman bahawa Fadzri sudah meninggal akibat kemalangan.

“Luluh hati saya dan hampir pengsan kerana tidak percaya penantian untuk melihat kejayaan anak tidak kesampaian malah digantikan dengan sekujur tubuh tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fadzli lagi, walaupun sedih kerana pemergian anaknya itu berlaku ketika hanya beberapa hari lagi orang menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri namun jika itu ketentuan Ilahi akan diterima dengan reda.

“Semua persiapan untuk dia menyambut hari raya juga sudah dibelinya sendiri awal-awal, namun kini hanya mampu dijadikan kenangan yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, Muhammad Fadzri ditemui parah apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 121.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI