KUALA TERENGGANU – Sebanyak 341 kes kebakaran terbuka dikesan berlaku di Terengganu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, sebanyak 298 kes melibatkan kebakaran belukar dan lalang, pusat pelupusan sampah (23), hutan (16) serta kebun (empat).
Beliau menjelaskan, peningkatan kebakaran di tempat terbuka tersebut didorong oleh cuaca kering ekoran musim kemarau yang berlaku pada masa ini.
“Kebakaran terbuka di Terengganu meningkat saban tahun dengan 390 kes dan 976 kes masing-masing pada tahun 2022 dan 2023.
“Januari hingga Mac tahun ini sahaja sudah 341 kes kita terima,” katanya selepas melancarkan Ops. Siap Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini hari ini.
Hassan ‘As’ari menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di pusat pelupusan sampah pada musim kemarau ini.
Beliau berkata, JBPM Terengganu telah bersiap sedia dengan kekuatan anggota dan aset bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kebakaran terbuka pada musim perayaan ini.
Dalam pada itu, Hassan ‘As’ari memberitahu hanya 30 peratus daripada 806 pegawai dan anggota JBPM negeri ini dibenarkan bercuti raya sebagai persediaan menghadapi musim perayaan. – KOSMO! ONLINE