KLANG – Taktik satu sindiket menyembunyikan rokok seludup di bawah kontena kosong yang terbiar di tepi jalan Balakong dekat sini, terbongkar apabila dihidu pihak berkuasa, baru-baru ini.
Penemuan 1.32 juta batang rokok bernilai RM105,600, manakala cukainya bernilai RM881,760 dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit Dua Selangor kira-kira pukul 3 petang, 29 Mac lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan yang dijalankan pihaknya selama lebih dua minggu.
“Sindiket menggunakan modus operandi baharu yang menyorokkan dalam kontena terbiar. Kesemua rokok dan kontena berkenaan disita bagi tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pangkalan Marin Kastam, Pelabuhan Klang di sini, petang ini. – KOSMO! ONLINE