JAKARTA – Sejumlah penduduk menunaikan solat tarawih secara berjemaah di dalam sebuah pasar mini di Kota Bogor menjelang penghujung Ramadan baru-baru ini, lapor laman berita TribunSolo hari ini.
Pada kebiasaannya, solat sunat itu diadakan di masjid dan surau, namun kali ini, ia berlangsung di celah-celah rak barangan di pasar raya itu.
Satu klip video mengenainya dimuat naik di TikTok menggunakan akaun @azharbbn.
Klip itu menunjukkan sejumlah jemaah bersolat di sebuah pasar mini yang masih beroperasi seperti biasa walaupun ibadah tersebut sedang berlangsung.
Mereka mengerjakan solat di premis itu disebabkan masjid penuh pada malam kelmarin, ketika orang ramai berlumba-lumba meningkatkan amal ibadah bagi mendapat keberkatan malam lailatulqadar. – AGENSI